Tuesday, December 27, 2011

Justin Bieber hadiahkan kereta kepada rakan


Bieber menghadiahkan kereta jenama Mustang kepada Ryan Butler yang merupakan rakan semasa zaman kanak-kanaknya. – AGENSI

LOS ANGELES 27 Dis. – Penyanyi remaja popular, Justin Bieber memberi kejutan kepada seorang rakan rapatnya dengan menghadiahkan sebuah kereta jenama Mustang berwarna putih sempena hari Krismas.
Penyanyi berusia 17 tahun itu dilaporkan memberi hadiah tersebut kepada rakan zaman kanak-kanaknya, Ryan Butler ketika pulang ke kediamannya di Stratford di Ontario, Kanada sempena musim cuti Krismas.
Butler memuat turun gambar kereta itu bersama mesej dalam laman web Twitter.
“Justin menghadiahkan saya sebuah kereta,” tulis Butler dalam Twitter.
Setakat ini, Bieber dilaporkan mendiamkan diri berhubung hadiah itu, sebaliknya dia hanya memaklumkan pengalamannya bercuti bersama keluarganya dalam laman itu
“Saya berasa lega dan gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama orang yang disayangi sempena Krismas ini,” jelas Bieber.
Dia juga memuat turun beberapa gambarnya bersama adik-adiknya Jaxon, 2, dan Jazmyn, 3 tahun.
Bieber tidak menyebut tentang teman wanitanya, Selena Gomez dalam mesejnya. - AGENSI

sumber dari : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Monday, November 14, 2011

Wahh..Penari Bogel Laku Di Singapore..




SINGAPURA – Khidmat penari bogel mendapat permintaan tinggi di Singapura walaupun aktiviti tersebut menyalahi undang-undang negara.
Sungguhpun polis mempunyai kuasa menyerbu mana-mana tempat termasuk kediaman persendirian yang disyaki menjalankan aktiviti tidak senonoh itu, ia gagal menghalang penari-penari bogel Singapura daripada mengiklankan perkhidmatan mereka.
Kebiasaannya para penari bogel di Singapura terdiri daripada pekerja kolar putih berusia dalam lingkungan 20-an.
Mereka menjadi penari eksotik selepas waktu pejabat untuk memenuhi permintaan golongan heteroseksual dan juga gay di pulau berkenaan.
Pemilik agensi hiburan tempatan 2niteok Entertainment, Bryan Tan yang menjadi penari bogel selama lapan tahun berkata, perkhidmatan tarian itu mendapat permintaan tinggi kalangan penduduk pulau berkenaan.
“Tarian bogel adalah biasa di Barat tetapi kini ia semakin digemari di Singapura,” kata Tan yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran pada waktu siang.
Menurut laman web syarikatnya, caj untuk melanggani tarian separa bogel ialah Sg$300 (RM736) untuk persembahan selama 20 minit manakala bayaran Sg$400 (RM981) dikenakan untuk tarian bogel sepenuhnya.
Bagi penari bogel wanita pula, mereka biasanya memakai coli dan seluar dalam semasa melakukan persembahan.
“Lelaki lebih gemar melihat wanita memakai pakaian berbanding berbogel sepenuhnya,” kata seorang eksekutif wanita, Jasmine Tan, 28, yang menjadi penari bogel untuk tiga atau empat kali sebulan.
Rata-rata penari bogel di sini merahsiakan pekerjaan sampingan mereka daripada keluarga kerana budaya masyarakat Singapura yang masih konservatif.

Monday, June 13, 2011

Hazama juara terakhir Akademi Fantasia

PUTRAJAYA: Hazama Ahmad Azmi atau Hazama, 27, dinobatkan juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) yang juga musim terakhir di sini, malam tadi.

Aksi konsisten dengan sentiasa meraih kedudukan tinggi menerusi undian SMS sepanjang penyertaan di AF9 menyaksikan Hazama mengatasi cabaran Nur Shafinaz Jebat (Fina), 18; Mohamad Azri Abdullah (Azri), 24, dan Lenaber Hadir (Lena), 21, yang bersaing menerusi program realiti popular, kelolaan stesen televisyen satelit Astro itu.


Kemenangan yang diumumkan pengacara program, Aznil Nawawi menarik perhatian lebih 5,000 peminat yang menyaksikan konsert itu. Kesetiaan peminat untuk memberi sokongan kepada peserta pilihan mereka terbukti apabila sebahagian besar penonton mula memenuhi ruang Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya sejak tengah hari. Persembahan Hazama yang menyampaikan lagu Pukau yang dipopularkan Tomok serta lagu baru berjudul Cinta Teragung ciptaan Kuncidemak menarik perhatian juri dan peminat.

Kejayaan itu membolehkan Hazama membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta piala sumbangan Astro, hamper dan wang tunai yang bernilai RM5,000 sumbangan Power Root selain sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 sumbangan Sony. Hazama menjadi peserta kesembilan yang menjejaki juara AF terdahulu seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir.


Naib juara dimenangi Lenaber Hadir, 21, atau Lena yang menyanyikan lagu Dunia (Bunkface) serta lagu baru, Sisa Kisah Kita, juga ciptaan Kuncidemak.


Peserta dari Sabah itu membawa pulang hadiah wang RM50,000, piala, hamper serta wang RM2,000 sumbangan Power Root dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499.

Sementara tempat ketiga milik Nur Shafinaz Jebat, 18, (Fina) dari Melaka yang membawa pulang wang RM20,000, piala, hamper serta wang RM1,000 sumbangan Power Root dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 manakala keempat, Mohamad Azri Abdullah, 24, atau Azri menerima wang RM5,000, piala dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499. AF9 yang disiarkan sejak 2 April lalu menampilkan 12 pelajar dalam Konsert Tirai diadakan secara terbuka di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa.

Sunday, June 12, 2011

Azean mahu berlakon biayai perubatan, kes Benjy

KUALA LUMPUR: “Saya tidak meminta simpati orang ramai untuk membiayai kos perubatan diri mahupun perbicaraan Benjy, tetapi saya berharap sangat diberi peluang berlakon semula kerana saya terdesak memerlukan wang untuk tujuan itu,” kata seniwati dan primadona, Azean Irdawaty, 61 yang berharap mana-mana produksi sudi mengambilnya berlakon semula selepas mendakwa wang simpanannya habis kerana membiayai kes perbicaraan anaknya, Benjy.

Azean berkata, keadaannya kini amat terdesak dan memerlukan wang sesudah semua simpanannya dikeluarkan membayar guaman, membiayai kos perubatan Benjy dan kos ulang-alik mengambil anaknya itu setiap minggu dari Kuantan ke mahkamah di ibu kota.


“Saya kini amat kesempitan dan berharap pengarah drama mengambil saya berlakon semula walaupun saya tahu keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan,” katanya.

Menurut Azean, dia kini mengalami kesakitan termasuk di dada, tulang belikat, pinggang, lengan dan ketiak yang bengkak kerana kurang rehat selepas menjaga anaknya di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya pada 20 April sehingga 3 Mei lalu.


“Selama dua minggu menjaga Benjy sesak nafas, keadaan badan saya menjadi sakit, tambahan pula kesan penyakit kanser yang dulu belum pulih sepenuhnya..demi anak tersayang saya sanggup melakukan apa saja.


“Walaupun saya sakit, saya tetap mahu berlakon semula demi mendapatkan wang dan dengan wang itu sekurang-kurangnya dapat membiayai kos rawatan dan perbicaraan Benjy.

“Saya tidak mahu orang menganggap saya meminta wang untuk kegunaan diri, tetapi biar saya mengerahkan kudrat saya untuk berlakon dengan harapan wang itu meringankan beban saya,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, dia berharap diberikan watak ringan dalam lakonan iaitu watak orang tua yang sakit atau watak orang kurang upaya (OKU) berikutan kemampuannya untuk bergerak terhad.

Monday, May 30, 2011

Uk's kini kembali dengan bisa lama

Rancak promosi album terbaru selepas sedekad hilang

SIAPA mampu menyangkal kehebatan lagu Seksa, Di Sana Menanti Di sini Menunggu dan Kau Satu-Satunya yang popular sekitar tahun 90-an dan sehingga kini masih diminati pendengar yang membesar seiring bersama lagu-lagu ‘berhantu’ ini.
Malahan, pendengar daripada generasi muda sekarang juga boleh mengingati bait lirik dan melodinya yang terus malar segar sedangkan Uk’s, iaitu kumpulan lagu itu sudah lama menyepikan diri.
Pada hal pada zaman kegemilangan, Uk’s adalah antara nama kumpulan yang begitu popular pada pertengahan tahun 90-an. Album mereka Bisa Berbisa pada 1995 pernah mencatat jualan hingga 400,000 unit. Kini selepas lebih lebih sedekad mendiamkan diri, mereka cuba untuk muncul semula dengan alasan untuk mengubati rindu peminat.

Semangat untuk kembali mewarnai dunia hiburan meluap-luap selepas muncul membuat persembahan dalam satu rancangan hiburan berjudul Rehat & Riadah yang disiarkan di saluran Astro 180: Muzik Aktif, tahun lepas.

Bertitik tolak daripada daripada rancangan itu, Uk’s yang masih kekal dengan tiga ahli lamanya iaitu Amy, 39 selaku pemain gitar utama, Denil, 38 (pemain gitar kedua) dan Amirul, 41 (dram) selain dua anggota iaitu Epy, 25 (vokal) dan Eddie, 31 (keyboard) tampil semula dengan album terkini berjudul Kembali Berbisa.

Memang bukan mudah untuk menyesuaikan dengan persekitaran muzik semasa yang sudah banyak berubah. Pendengar dan peminat juga sudah mempunyai pelbagai pilihan muzik.
Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah besar kepada Uk’s untuk mengekalkan muzik balada dengan lirik cinta ‘berbunga-bunga’ kerana yakin corak lagu sedemikian masih ada pengikutnya.

“Bukan tidak mahu melakukan perubahan atau menyuntik elemen baru, tetapi album ini dihasilkan untuk peminat yang akan membeli album ini, mendengar lagu-lagu kami dan yang selama ini memberikan sokongan yang berpanjangan. Uk’s umpama jenama yang mempunyai pengikutnya tersendiri,” kata Amy yang mewakili rakan-rakannya ketika ditemubual Hip di Balai Berita baru-baru.

Sasarkan jual 30,000 unit

Album Uk’s: Kembali Berbisa sudah setahun dipasarkan dan ia diterbitkan serta diedarkan sepenuhnya oleh syarikat penerbitan milik Amy iaitu Uk’s Records Entertainment.

Namun begitu, ramai tidak menyedari kemunculan Kembali Berbisa berikutan tiada publisiti meluas-luas.

“Kami sengaja memasarkan album ini tahun lalu tanpa publisiti untuk melihat sendiri reaksi dan sambutannya. Kami tidak menyangka menerima maklum balas positif yang mana rata-rata peminat berpuas hati dengan lagu dalam album ini.

“Sejak itu, penjualan album dilakukan sendiri dengan turun padang di tempat tumpuan orang ramai sekitar Kuala Lumpur, di setiap lokasi kami melakukan persembahan juga secara online. Penjualan sendiri album ini membantu kami mendekati peminat secara lebih dekat selain dapat mengelakkan cetak rompak.

“Buat masa ini kami amat gembira jualan album Kembali Berbisa hampir mencecah 2,000 unit, satu angka yang cukup besar dan kami mensasarkan untuk mencapai jualan album sebanyak 30,000 unit melalui promosi yang giat dijalankan sekarang” kata Amy lagi.

Album Kembali Berbisa memuatkan 12 lagu; enam lagu baru dan enam lagi lagu nostalgia yang pernah menaikkan nama Uk’s. Lagu baru itu ialah Lepaskanmu Kerana Terpaksa, Sesak, Hati Yang Terluka, Rythm Berbunyi Lagi, Lumrah Percintaan dan Aku Jatuh Cinta.

Lagu lama yang dinyanyikan semula dan dimuatkan dalam album ini ialah Kau Satu-Satunya, Kekasihku Di Menara, Seksa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Kerana Pepatah Lukaku Berdarah dan Pahit Akan Manis Akhirnya.

“Lagu Lumrah Percintaan dan Jatuh Cinta dinyanyikan saya sendiri berduet dengan Norliana Samsudin atau Yana,” katanya.

Bagi peminat UK’s yang ingin mendapatkan album terbaru mereka boleh layari laman Facebook di bawah carian Uk’s Records Entertainment atau layari laman web uksrecords.blogspot.com untuk pembelian album.

Peranan Epy sebagai vokalis baru Uk’s mungkin tetap akan dibandingkan dengan penyanyi asal kumpulan itu, Amir yang kini bergerak secara solo. Apatah lagi nama Amir dan Uk’s sudah sebati dan dianggap menjadi tunjang kepada populariti kumpulan ini.

“Tidak dinafikan ada juga yang berasa cemburu apabila saya dipilih menjadi vokalis terbaru Uk’s. Ada yang meragui kemampuan saya. Tapi saya tidak kisah kalau ada membandingkan suara saya dengan Amir,” katan Epy atau nama sebenarnya Mohd Jeffri Sidek.

Amy pula menjelaskan bakat Epy dicungkil menerusi pertandingan mencari vokalis Uk’s yang diadakan di Pudu Ulu, Kuala Lumpur. Daripada pertandingan itu, Epy dirasakan layak mengambil tempat Amir selaku vokalis Uk’s kerana memilik suara yang bagus.