Monday, June 13, 2011

Hazama juara terakhir Akademi Fantasia

PUTRAJAYA: Hazama Ahmad Azmi atau Hazama, 27, dinobatkan juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) yang juga musim terakhir di sini, malam tadi.

Aksi konsisten dengan sentiasa meraih kedudukan tinggi menerusi undian SMS sepanjang penyertaan di AF9 menyaksikan Hazama mengatasi cabaran Nur Shafinaz Jebat (Fina), 18; Mohamad Azri Abdullah (Azri), 24, dan Lenaber Hadir (Lena), 21, yang bersaing menerusi program realiti popular, kelolaan stesen televisyen satelit Astro itu.


Kemenangan yang diumumkan pengacara program, Aznil Nawawi menarik perhatian lebih 5,000 peminat yang menyaksikan konsert itu. Kesetiaan peminat untuk memberi sokongan kepada peserta pilihan mereka terbukti apabila sebahagian besar penonton mula memenuhi ruang Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya sejak tengah hari. Persembahan Hazama yang menyampaikan lagu Pukau yang dipopularkan Tomok serta lagu baru berjudul Cinta Teragung ciptaan Kuncidemak menarik perhatian juri dan peminat.

Kejayaan itu membolehkan Hazama membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta piala sumbangan Astro, hamper dan wang tunai yang bernilai RM5,000 sumbangan Power Root selain sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 sumbangan Sony. Hazama menjadi peserta kesembilan yang menjejaki juara AF terdahulu seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir.


Naib juara dimenangi Lenaber Hadir, 21, atau Lena yang menyanyikan lagu Dunia (Bunkface) serta lagu baru, Sisa Kisah Kita, juga ciptaan Kuncidemak.


Peserta dari Sabah itu membawa pulang hadiah wang RM50,000, piala, hamper serta wang RM2,000 sumbangan Power Root dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499.

Sementara tempat ketiga milik Nur Shafinaz Jebat, 18, (Fina) dari Melaka yang membawa pulang wang RM20,000, piala, hamper serta wang RM1,000 sumbangan Power Root dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 manakala keempat, Mohamad Azri Abdullah, 24, atau Azri menerima wang RM5,000, piala dan kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499. AF9 yang disiarkan sejak 2 April lalu menampilkan 12 pelajar dalam Konsert Tirai diadakan secara terbuka di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa.

Sunday, June 12, 2011

Azean mahu berlakon biayai perubatan, kes Benjy

KUALA LUMPUR: “Saya tidak meminta simpati orang ramai untuk membiayai kos perubatan diri mahupun perbicaraan Benjy, tetapi saya berharap sangat diberi peluang berlakon semula kerana saya terdesak memerlukan wang untuk tujuan itu,” kata seniwati dan primadona, Azean Irdawaty, 61 yang berharap mana-mana produksi sudi mengambilnya berlakon semula selepas mendakwa wang simpanannya habis kerana membiayai kes perbicaraan anaknya, Benjy.

Azean berkata, keadaannya kini amat terdesak dan memerlukan wang sesudah semua simpanannya dikeluarkan membayar guaman, membiayai kos perubatan Benjy dan kos ulang-alik mengambil anaknya itu setiap minggu dari Kuantan ke mahkamah di ibu kota.


“Saya kini amat kesempitan dan berharap pengarah drama mengambil saya berlakon semula walaupun saya tahu keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan,” katanya.

Menurut Azean, dia kini mengalami kesakitan termasuk di dada, tulang belikat, pinggang, lengan dan ketiak yang bengkak kerana kurang rehat selepas menjaga anaknya di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya pada 20 April sehingga 3 Mei lalu.


“Selama dua minggu menjaga Benjy sesak nafas, keadaan badan saya menjadi sakit, tambahan pula kesan penyakit kanser yang dulu belum pulih sepenuhnya..demi anak tersayang saya sanggup melakukan apa saja.


“Walaupun saya sakit, saya tetap mahu berlakon semula demi mendapatkan wang dan dengan wang itu sekurang-kurangnya dapat membiayai kos rawatan dan perbicaraan Benjy.

“Saya tidak mahu orang menganggap saya meminta wang untuk kegunaan diri, tetapi biar saya mengerahkan kudrat saya untuk berlakon dengan harapan wang itu meringankan beban saya,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, dia berharap diberikan watak ringan dalam lakonan iaitu watak orang tua yang sakit atau watak orang kurang upaya (OKU) berikutan kemampuannya untuk bergerak terhad.